--[if IE 6]>
       

Tabung BizkutCare



                                                                    السلام عليكم

Tabung BizkutCare ditubuhkan bermula tahun ini 2010, oleh pihak bizkutraya.com sendiri yang bertujuan mengajak pelanggan bizkutraya.com mahupun orang ramai agar sama-sama membantu memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Tabung ini tidak diendorse dengan mana-mana badan. Sebaliknya hanyalah membuka ruang dan jalan bagi pihak bizkutraya.com bersama-sama dengan pelanggannya serta sesiapa sahaja yang sudi untuk
menderma seikhlas hati buat insan-insan yang memerlukan bantuan.

Pihak bizkutraya.com memohon maaf kerana tidak dapat mengambil kesemua pertubuhan atau insan-insan yang memerlukan bantuan dalam satu masa yang sama. InsyaAllah sama-samalah kita berdoa agar pada masa hadapan, penjualan  bizkutraya.com akan lebih berkembang, supaya di samping itu dapat kita terus mengumpul dana demi mereka yang memerlukan bantuan melalui Tabung BizkutCare ini.

Setiap 50sen daripada jualan setiap balang biskut sama ada Biskut Ala-Carte mahupun Biskut di bahagian Promosi, akan dimasukkan ke dalam Tabung BizkutCare. Maka kesemua pembeli berpeluang membeli sambil menderma. Dana yang dikumpul akan diberikan sendiri oleh pihak bizkutraya.com ataupun dimasukkan ke dalam akaun pihak penerima. Ini bergantung kepada keadaan dan keperluan, sama ada menyalurkan dana Tabung BizkutCare dalam bentuk wang atau pun dalam bentuk barangan keperluan.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hulurkan bantuan seikhlas hati kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Pihak bizkutraya.com berdoa dan berharap mudah-mudahan sumbangan yang dihulurkan mendapat keberkatan dari yang Maha Esa.  Semoga usaha kita yang kecil ini dan sumbangan anda semua dapat memberi sedikit sinar kegembiraan buat insan-insan yang memerlukan bantuan.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2010 ini, bizkutraya.com berhasrat memberi sumbangan kepada keluarga adik Mohd Khairol Fahmi b. Azhar, pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sultan Mudzaffar Shah, Bujang, Kedah. Adik Mohd Khairol tergolong dalam pelajar miskin di sekolah tersebut.  Dia dan 6 orang adik-beradik yang lain berusia di antara 16 tahun hingga 1 tahun, dibesarkan oleh neneknya Aishah dan ibunya Rohani, setelah kedua orang tuanya bercerai. Ibunya hanyalah seorang pekerja kilang yang mana pendapatannya tidaklah seberapa untuk menanggung segala perbelanjaan mereka. Malah amat memilukan hati melihat rumah mereka yang sangat kecil dan tidak sempurna jauh di pedalaman. Abang kepada adik Mohd Khairol, yang bersekolah di tingkatan 2 terpaksa bekerja sambilan di sebuah kedai makan bagi membantu ibunya menanggung keluarga. Ada kalanya apabila ibunya tidak mempunyai wang, mereka anak-beranak terpaksa berlapar. Menurut guru sekolah, adik Mohd Khairol adalah seorang murid yang baik, namun dia tidak lancar membaca. Mungkin kerana kesusahan keluarga dan kekurangan keperluan seharian memberikan kesan terhadap perkembangan pelajarannya.


Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sangatlah memilukan hati memikirkan nasib mereka adik-beradik.  Bizkutraya.com mengajak semua pihak sama-sama membantu seikhlas hati membeli sambil menderma dan berdoa agar kehidupan mereka bertambah baik daripada yang sebelumnya.

Jika ada pihak yang ingin memberikan sumbangan secara peribadi atau secara terus kepada mereka, sila hubungi pihak kami melalui email untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi menghubungi mereka.

Segala keprihatinan dan bantuan anda amatlah dihargai.

Wassalam.






site info

Copyright © 2010 bizkutraya.com. All rights reserved.
Designed by perekaweb.com